fbpx

Cristiano Ronaldo perlu sertai aksi pramusim Manchester United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO mencetuskan konflik baharu dalam kem United apabila membuat permohonan meninggalkan pasukan itu. – AFP

MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo diarahkan untuk meng­ikuti aksi pramusim bersama pasukan itu meskipun dia dilaporkan mahu meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan kali ini.

Pemain antarabangsa Portugal itu mencetuskan suasana panik dalam kem United selepas dia meminta ejen, Jorge Mendes mencari pasukan baharu selepas kecewa dengan pengurusan Uni­ted yang gagal membawa masuk pemain baharu.

Keadaan itu sekali gus memberi tamparan hebat buat pengurus, Erik Ten Hag yang sedang berusaha membentuk pasukan terbaik menjelang aksi pramusim pada jelajah Australia dan Thailand bermula minggu depan.

Terdahulu, sumber terdekat Ronaldo mendedahkan, bekas pemain Real Madrid itu mula bosan dengan United selepas mereka gagal melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara.

“Musim depan adalah kali pertama dia (Ronaldo) tidak akan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara sekiranya terus bersama United. Justeru, keadaan itu menyebabkan dia berasa kecewa.

“Dia seorang pemain yang memerlukan saingan tertinggi, jadi ia menjadi faktor mengapa dia mahu keluar dari United. Semua orang tahu Ronaldo adalah pemain yang sentiasa mencabar kemampuan diri,” katanya.

Walaupun Mendes dikatakan sudah melakukan rundingan bersama beberapa pasukan termasuk Chelsea, Bayern Munich dan Napoli, namun belum ada sebarang kata sepakat dicapai setakat ini.

Pada aksi jelajah pramusim di Australia dan Thailand nanti, The Red Devils dijadualkan ber­aksi menentang Liverpool, Melbourne Victory, Crystal Palace dan Aston Villa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI