BALING – Mayat ketiga kejadian kepala air di Kampung Iboi dalam mukim Kupang di sini ditemui kira-kira pukul 11.55 pagi ini.
Mayat Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ditemui di bawah timbunan batang pokok tidak jauh dari tempat mayat ibu dan kakak iparnya dijumpai.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, mayat mangsa ditemui anggota penyelamat yang melakukan operasi pencarian.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan sempurna,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan mayat wanita hamil, Nurul Anis Abu Hassan, 23, dan ibu mertuanya, Salmah Mat Akib, 53, ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan kedua-duanya dijumpai berpelukan di bawah timbunan batang pokok kira-kira 100 meter dari rumah mereka. – KOSMO! ONLINE