KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing meneruskan aksi konsisten selepas melangkah ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Arena Axiata, Bukit Jalil hari ini.
Pada aksi pusingan pertama hari ini, Cheong-Mei Xing menampilkan dominasi dalam pertemuan itu sebelum memastikan kemenangan 21-19, 21-17 ke atas gandingan Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard.
Meskipun menewaskan beregu yang berada pada ranking ke-30 dunia, namun Anna menegaskan, mereka tidak terlalu memikirkan mengenai status pemain lawan kerana lebih memberi tumpuan terhadap aksi sendiri.
“Sebenarnya kami langsung tidak fikir mengenai ranking pemain lawan kerana apa yang penting adalah untuk fokus terhadap permainan sendiri. Adalah amat penting supaya fikir strategi sendiri.
“Bagi aksi pusingan kedua, kami hanya fokus untuk teruskan aksi konsisten dan lakukan persiapan terbaik untuk mendapatkan mata dalam perlawanan tersebut,” katanya selepas tamat perlawanan.
Mengiringi Anna-Mei Xing ke pusingan kedua nanti adalah beregu wanita No.1 Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah yang menewaskan wakil India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand 21-14, 21-14.
Dalam perkembangan sama, gandingan Low Yeen Yuan-Valeree Siow gagal meneruskan kemaraan ke pusingan kedua apabila tewas 12-21, 17-21 kepada beregu Indonesia, Febby Valencia-Ribka Sugiarto.
Beregu profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien juga ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Malaysia Masters apabila akur dengan kekalahan 17-21, 21-23 kepada pilihan utama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.
Sementara itu, hasrat Yap Rui Chen-Yap Yee untuk melangkah ke pusingan pertama lebur apabila tewas 16-21, 8-21 kepada pasangan Thailand, Supissara Paewsampran-Puttita Supajirakul dalam aksi kelayakan.-KOSMO! ONLINE