KUALA LUMPUR – Sebilangan aktivis di Malaysia mendesak pemerintah Singapura menarik balik hukuman mati terhadap seorang rakyat negara berkenaan yang didapati bersalah kerana menyeludup dadah, lapor akhbar Arab News semalam.
Kalwant Singh yang dijatuhi hukuman gantung pada 2016 kerana menyeludup heroin ke Singapura dijadualkan menjalani hukuman mati itu pada Khamis ini.
Kumpulan penentang hukuman mati dikenali sebagai Rangkaian Asia Anti-Hukuman Mati mengeluarkan kenyataan kepada Kedutaan Singapura, menggesa agar hukuman terhadap Kalwant dimansuhkan bagi memberinya peluang untuk memfailkan pengampunan.
Tertuduh yang berumur 23 tahun apabila diberkas pada 2013, didakwa telah diugut dengan keganasan dan dipaksa menyeludup dadah ke Singapura bagi membayar hutang judi bola sepak.
Faktor itu dikatakan tidak dipertimbangkan ketika perbicaraannya.
Tambah pertubuhan tersebut, hukuman mati juga tidak banyak membantu menghentikan aktiviti penyeludupan dadah dan sindiket terancang.
“Kesungguhan pemerintah Singapura dalam mengekalkan dan melaksanakan hukuman mati hanya membawa kepada kecaman masyarakat global serta mencalarkan imejnya sebagai sebuah negara maju,” kata kenyataan tersebut.
Lewat April lalu, seorang lagi rakyat Malaysia menjalani hukuman mati susulan keputusan mahkamah Singapura, sekali gus mencetuskan bantahan orang ramai kerana dia dipercayai merupakan individu kelainan upaya dari segi intelektual.
Nagaenthran K. Dharmalingam, dijatuhi hukuman tersebut juga atas kesalahan menyeludup dadah ke Singapura. – Agensi