SEREMBAN – Seorang ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Sembilan (PVATMNS) rebah di dalam bilik hotel dan meninggal dunia petang semalam selepas menghadiri Majlis Persidangan Perwakilan yang berlangsung di hotel sama.
Shaharuddin Abd Manan, 62, dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung di biliknya kira-kira pukul 4.30 petang.
Yang Dipertua PVATMNS, Adnan Ahmad berkata, Allahyarham Shaharuddin yang merupakan seorang duda telah menunjukkan petanda sakit di bahagian dada ketika bersarapan.
“Pagi tadi saya ada terserempak dengan arwah ketika sarapan pagi dan apabila saya cuba berbual dengannya, dia tiba-tiba memegang dadanya.
“Saya tahu dia ada sakit jantung, tapi selepas itu keadaannya baik saja dan arwah sempat berpesan kepada saya supaya memasukkan namanya untuk perbarisan PVATM nanti,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Adnan berkata, Shaharuddin dipercayai mempunyai sejarah penyakit jantung dan sempat makan ubat sebelum meninggal dunia.
“Bagaimanapun, Allahyarham yang berehat di bilik hotel selepas selesai persidangan rebah sebaik keluar dari tandas.
“Kejadian ini sangat mengejutkan kami kerana ia berlangsung ketika persidangan. Jenazahnya telah dibawa pulang ke tempat tinggalnya di Kota, Rembau untuk dikebumikan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisoner Nanda Maarof ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. -KOSMO! ONLINE