AKTOR terkenal Aamir Khan mengakui masih belum dapat melupakan bekas kekasihnya yang juga gadis yang menjadi cinta pertamanya ketika mereka sama-sama melanjutkan pengajian di Kolej Narsee Monjee di Mumbai, India, sekitar 30 tahun lalu.
Ujar pelakon berusia 57 tahun itu, dia mengenali gadis yang disembunyikan identitinya itu sewaktu menyertai kelab sukan tenis di kolej.
“Saya mengenalinya ketika bermain tenis. Orangnya sangat aktif dan penyayang. Rupa parasnya juga cantik.
“Kami sangat rapat sehingga menjadi pasangan kekasih. Tapi sayang, hubungan kami tidak berpanjangan,” kata Aamir.
Ujar pelakon filem Mann itu, gadis tersebut terpaksa mengikut keluarganya berpindah ke luar negara sehingga membuatkan hubungan mereka terputus begitu sahaja.
“Walaupun sudah berpuluh tahun berlalu, sehingga sekarang saya masih tidak dapat melupakannya,” kata Aamir yang kini berstatus duda.