fbpx

Warga emas pandu lawan arus maut, kereta bertembung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu Proton Wira yang melawan arus meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bertembung dengan Honda City, awal pagi tadi.

PETALING JAYA – Padah melawan arus, seorang warga emas maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 32.8 Lebuh Raya Persekutuan menghala Klang, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah menerima satu laporan berkenaan kemalangan maut pada pukul 2.08 pagi.

“Kemalangan tersebut dipercayai berlaku pada pukul 1.45 pagi melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Proton Wira dan Honda City.

“Pemandu Proton Wira dipercayai memandu secara melawan arus lalu bertembung dengan kereta Honda City yang dipandu secara berdepan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan pemandu Proton Wira berumur 72 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala pemandu Honda City berusia 22 tahun pula mengalami kecederaan dan kini dirawat di zon merah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya.

Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca serta sebab kematian dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor R Navalan ditalian 014-2536820 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI