fbpx

UiTM kampus Seremban 3 didik komuniti hak-hak pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Program Kembara Kepenggunaan Santuni Komuniti bagi mendidik orang ramai menjadi pengguna bijak dan tidak mudah ditipu peniaga tidak bertanggungjawab diadakan di Tampin, baru-baru ini.

BAGI mendedahkan masyarakat mereka dengan isu kepenggunaan, program Kembara Kepenggunaan Santuni Komuniti diadakan di sekitar Tampin, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Ia dianjurkan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban 3.

Seramai 60 pelajar universiti termasuk 30 peserta dan 30 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Keru serta komuniti setempat menyertaim program sehari itu.

Pengarah program, Akhyar Ridzuwan, 22, berkata, sempena program yang digerakkan oleh 32 urus setia berkenaan, pelbagai aktiviti menarik diadakan bukan hanya bagi mengeratkan hubungan, bahkan mendidik tentang hak-hak pengguna.

Menurutnya, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan turut dijemput untuk memberi taklimat mengenai isu kepenggunaan.

“Isu kepenggunaan bukanlah sesuatu yang asing, namun masih ramai lagi tidak mengetahui hak mereka sekiranya menjadi mangsa.

“Malah, ramai bersikap acuh tak acuh menganggap kenaikan harga barang sebanyak lima sen yang dikenakan peniaga berbanding harga standard sebagai normal.

“Bayangkan, sekiranya ada 1,000 pengguna bersikap demikian, peniaga akan sesuka hati mengambil kesempatan ke atas mereka,” katanya ketika ditemui sempena program berkenaan di Surau Al-Jannah Tampin Jaya.

Dia berharap peserta program juga dapat menggunakan hak mereka dengan menyemak harga barangan melalui aplikasi yang boleh dimuat turun.

PROGRAM bertujuan mendedahkan pengguna menyemak harga barangan melalui aplikasi yang boleh dimuat turun.

Katanya, secara tidak langsung, pengguna dapat berjimat, selain didedahkan dengan enam saluran yang betul untuk membuat aduan kepada pihak KPDNHEP.

“Antaranya hanya menghantar aduan menerusi WhatsApp di talian 019-279 4317 atau merujuk kes ke TTPM (Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia),” ujarnya.

Pada program tersebut, turut diadakan 10 permainan sukaneka termasuk roda impian silang kata isu kepenggunaan.

Ia bagi memastikan ilmu kepenggunaan yang dikongsi serta diingati kesemua peserta.

Menurut Akhyar lagi, pihaknya turut memberikan sumbangan penaja kepada 50 individu yang memerlukan.

Sementara itu, pelajar tahun dua, Ijazah Sarjana Muda Sains Matametik, universiti itu, Wan Nor Nabila Mohd. Zaini, 21, berkata, program seumpama itu bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan mahasiswa dan komuniti setempat, bahkan mendidik untuk pengguna mengetahui hak mereka.

Menurutnya yang berasal dari Parit Buntar, Perak, jika sebelum ini dia sendiri kurang mengetahui terdapat pelbagai saluran untuk membuat aduan, kini mengetahui penggunaan WhatsApp, selain e-mel juga boleh digunakan.

Dalam pada itu, bagi pelajar tahun dua Diploma Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM, Ariff Hanif Mohd Azmi, 20, pula berkata, sebagai pelajar, dia perlu lebih bijak berjimat dalam berbelanja.

“Lagipun, masa kini banyak orang gemar membeli barang secara online.

“Bagi mengelak menjadi mangsa penipuan, mereka boleh membaca rebiu barangan tersebut terlebih dahulu atau menyemak akaun atau nombor telefon tertera melalui portal Semak Mule CCID,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI