COPENHAGEN, DENMARK – Tiga orang maut dalam insiden tembakan di sebuah pasar raya di Copenhagen, Denmark, semalam, manakala sebilangan yang lain cedera dengan tiga daripada mereka dimasukkan ke hospital kerana kritikal, lapor stesen penyiaran CNN.
Kejadian berlaku di beberapa lokasi dalam pasar raya Field’s, ibu negara Denmark. Rakaman video yang dikongsikan di media sosial menunjukkan orang ramai lari bertempiaran di pasar raya tersebut di samping kehadiran sebilangan anggota polis.
Ketua Polis Copenhagen, Soren Thomassen dalam satu sidang akhbar awal pagi ini berkata, mangsa yang mati termasuk seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dan dua remaja.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan tembakan tersebut.
“Kami yakin bahawa suspek berusia 22 tahun yang ditahan ialah penembak, dia membawa senapang dan peluru.
“Pasukan penyiasat percaya bahawa suspek tidak bertindak secara berkumpulan, namun, perkara itu masih perlu disahkan,” kata Thomassen.
Sementara itu, seorang saksi yang juga merupakan bekas ahli politik Denmark, Joachim Olsen berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan menuju ke gimnasium yang terletak di dalam pasar raya tersebut apabila terlihat orang ramai berlari keluar dari bangunan itu.
“Ia kelihatan seperti kejadian tembakan di sekolah Amerika Syarikat, di mana orang ramai berlari keluar dengan tangan mereka berada di atas kepala.
“Orang ramai berlari, mencari rakan-rakan dan ahli keluarga serta ada yang bercakap (menggunakan telefon) dengan rakan yang masih berada di dalam pasar raya,” ujarnya.
Tambah Olsen, anggota keselamatan turut berusaha memastikan orang ramai keluar dari dalam pasar raya tersebut.
“Ketika kami sedang berlari, ada anggota polis yang datang dan berkata ‘lari, lari, mereka masih menembak di sini,’” katanya. – Agensi