BERDEPAN tekanan tinggi bukanlah alasan buat beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika tewas 21-23, 9-21 kepada juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada separuh akhir Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia.
Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil itu, Aaron-Wooi Yik menampilkan aksi cukup baik pada set pertama, namun keyakinan tersebut seolah-olah lenyap di set kedua apabila tewas mudah 9-21.
Walaupun berdepan tekanan cukup tinggi pada perlawanan itu, namun Aaron menegaskan, ia adalah perkara biasa buat semua pemain, lebih-lebih lagi mereka turun sebagai sandaran utama negara.
Justeru, dia menegaskan, mereka perlu jadikan tekanan itu sebagai pembakar semangat untuk menampilkan aksi terbaik di dalam gelanggang selain jika mahu terus menjadi gandingan utama.
“Saya rasa tekanan bukanlah alasan (kalah) buat kita kerana ia memang perlu ada dalam diri setiap pemain. Sekiranya tidak mampu untuk berdepan tekanan, jangan jadi pemain No.1.
“Sekiranya mahu menjadi pemain No.1, memang perlu ada tekanan dan hadapinya dengan tenang. Bukan sahaja kita, malah semua pemain ada tekanan masing-masing,” katanya.
Pada masa sama, Aaron juga menegaskan, mereka perlu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah konsistensi, terutamanya ketika beraksi pada pusingan separuh akhir dan akhir.
“Memang kena fikir lagi apa yang benar-benar menjadi masalah buat kita. Apabila kita sedang mendahului, tiba-tiba sahaja banyak lakukan kesilapan mudah sehingga berikan mata percuma buat lawan. Ia sering berlaku dalam aksi penting seperti ini,” ujarnya.