fbpx

Ribuan penduduk Sydney diarah pindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG lelaki merakam keadaan di Camden yang dilanda banjir semalam. - AFP

SYDNEY – Perkhidmatan Kecemasan Australia mengarahkan beribu-ribu penduduk di Sydney berpindah semalam selepas limpahan air sungai menenggelamkan kawasan yang luas, manakala empangan terbesar di bandar raya itu turut menumpahkan air.

Pasukan penyelamat berkata, mereka menyelamatkan kira-kira 20 orang dalam tempoh 12 jam lalu dengan ramai terperangkap di jalan-jalan raya di negeri New South Wales (NSW). Situasi itu berlaku pada hari ketiga hujan lebat melanda pantai timur Australia.

Australia menerima tempias perubahan iklim dengan kemarau, kebakaran belukar, pemutihan Terumbu Karang Besar dan banjir menjadi semakin kerap dan lebih buruk berikutan perubahan  corak cuaca.

Suhu lebih tinggi menyebabkan atmosfera menyimpan lebih banyak kelembapan dan mengakibatkan lebih banyak hujan.

“Kira-kira 32,000 orang berada di bawah arahan berpindah di NSW. Kami melihat paras air sungai meningkat lebih cepat daripada jangkaan,” kata pegawai kanan Perkhidmatan Kecemasan Negeri, Ashley Sullivan.

Paras air di beberapa kawasan kini melebihi paras ketika banjir melanda pantai timur Australia sejak dua tahun lalu, tambahnya.

Lebih 20 orang terkorban selepas banjir menenggelamkan kediaman dan menghanyutkan sejumlah kenderaan pada Mac tahun ini.

Pada pagi semalam, air sungai berwarna coklat mengubah sebuah kawasan menjadi tasik di Camden, pinggir Sydney.

Jalan dan kediaman digenangi air banjir setinggi paras lutut dengan sebuah kediaman hampir runtuh.

Air deras mengalir turun dari Empangan Warragamba yang melimpahkan air sejak kelmarin. Empangan itu terletak di pinggir barat Sydney dan menyediakan sebahagian besar bekalan  air minuman kepada penduduk bandar raya itu. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI