fbpx

Permohonan Ahmad Zahid tangguh prosiding ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan perbicaraan kesnya sehingga rayuan untuk mendapatkan salinan percakapan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas berpuas hati bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak akan diprejudis ketika prosiding bela diri terhadapnya didengar di mahkamah serta tidak akan dihalang daripada dibicarakan secara adil.

Mahkamah berpendapat, Presiden UMNO itu bebas menemubual saksi-saksi pada bila-bila masa kerana kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga manakala pihak pendakwaan bersedia untuk membantunya.

Sehubungan itu, Hakim Collin berpuas hati, tiada keadaan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonan untuk menangguhkan prosiding perbicaraan yang kini di peringkat bela diri.

Mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan hingga esok selepas dimaklumkan bahawa beberapa peguam Ahmad Zahid tidak sihat.

Ahmad Zahid mengemukakan permohonan untuk mendapatkan salinan percakapan saksi-saksi berkenaan kerana keterangan mereka material dan menyokong keterangan pembelaan beliau.

Saksi-saksi itu termasuk anaknya Datuk Nurulhidayah, adiknya Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Bagaimanapun, pada 9 Mei lalu, Hakim Collin menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi daripada SPRM kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi. Beliau kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan berhujah, permohonan tersebut bukan bertujuan untuk melengahkan atau melewatkan perbicaraan.

Sebaliknya, hujah peguam bela, permohonan itu bersifat bona fide (niat baik) untuk memastikan anak guamnya mendapat perbicaraan yang adil dalam penyediaan pembelaan di mahkamah.

Hujah Hisyam, kes itu merupakan kes kepentingan awam dan Ahmad Zahid perlu diberi peluang memberikan keterangan penuh serta lengkap semasa pemeriksaan utama sebelum disoal balas.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah agar permohonan itu ditolak kerana ia jelas dilihat sebagai percubaan untuk melengah-lengahkan perbicaraan daripada diselesaikan lebih awal.

Raja Rozela turut mempertikaikan mengapa permohonan penangguhan difailkan pada saat-saat akhir iaitu pada 23 Jun lalu walhal pihak pembelaan boleh melakukannya sejurus selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya pada 9 Mei lalu.

Hujahnya, Seksyen 174 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan, perbicaraan kes jenayah perlu dimulakan dalam tempoh tiga bulan selepas individu berkenaan didakwa di mahkamah.

“Pendakwaan terhadap Ahmad Zahid telah mengambil masa selama tiga tahun sejak 2019, jika mahkamah membenarkan penangguhan, bila kes ini akan selesai walhal pertuduhan melibatkan kesalahan yang serius?” ujar Raja Rozela.

Hujah beliau, kes itu melibatkan kepentingan awam kerana tertuduh merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, namun penangguhan jika dibenarkan tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada perbicaraan yang sedang didengar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI