fbpx

MAFI sokong LKIM terus beli ikan daripada nelayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Muhammad Zawawi (empat dari kanan) semasa meninjau proses melabuhkan tukun tiruan dasar laut Tok Bali, Pasir Puteh hari ini. FOTO TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyokong usaha Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) agar terus membeli ikan daripada nelayan untuk dijadikan stok penimbal dalam usaha membantu menstabilkan harga bahan mentah itu.

Timbalan Menteri Pertanian II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, langkah tersebut secara tidak langsung dapat mengimbangi bekalan bagi menjamin sekuriti makanan negara.

Menurutnya, selain itu, kewujudan pasar ikan tanpa melibatkan peranan orang tengah membolehkan rakyat membeli ikan pada harga yang berpatutan.

“MAFI tidak bersetuju dengan peranan orang tengah dalam bidang pertanian yang boleh menyebabkan nelayan terikat dengan mereka sekali gus memberi kesan kepada pembeli runcit

“Lebih baik sekiranya nelayan atau ahli keluarga mereka meniaga sendiri hasil tangkapan dengan strategi pemasaran sendiri sebelum semua barangan sampai kepada pengguna,” katanya pada sidang akhbar selepas melabuhkan tujuh tukun tiruan di Pelabuhan LKIM Tok Bali di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata, MAFI telah memperkenalkan pelbagai pendekatan perniagaan secara dalam talian kepada petani yang turut boleh dicontohi nelayan untuk memasarkan ikan secara terus kepada pengguna semasa musim Covid-19 yang lalu.

Katanya, pelbagai teknik boleh digunakan oleh nelayan dalam menjual dan mempromosikan hasil tangkapan menggunakan platform digital.

“Agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (LPP) telah melaksanakan program jualan terus kepada rakyat dan perkara inu boleh dijadikan sebagai model kepada nelayan.

“Cadangan untuk melibatkan nelayan berniaga tanpa kartel perikanan amat dialu-alukan. MAFI amat bersetuju dengan pendekatan ini dan kerajaan sentiasa membaca denyut nadi rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI