BANGKOK – Seorang lelaki di Thailand dilaporkan mengalami serangan panik selepas menghisap ganja di Pantai Pattaya semalam, lapor laman berita Thaiger.
Lelaki dikenali sebagai Seksan, 29, itu turut mengalami gejala luar biasa akibat daripada aktiviti terlarang tersebut.
Menurut Seksan, dia pernah menghisap ganja sekali dalam seumur hidupnya beberapa tahun lalu.
Selepas kerajaan Thailand membenarkan penggunaan bahan terlarang itu, Seksan terdetik untuk menikmati suasana malam di tepi pantai dengan membeli ganja daripada seorang peniaga di situ.
Bagaimanapun, selepas menghabiskan separuh bahan tersebut, dia berasa sesak dada dan pening lantas terpaksa meminta bantuan orang ramai.
Polis Pattaya dimaklumkan bahawa Seksan mengalami masalah pernafasan, penglihatan, keresahan dan loya dan sesak nafas.
Anggota penyelamat yang tiba kemudian memberi bantuan awal kepada lelaki itu di lokasi kejadian sebelum membawanya ke hospital terdekat untuk rawatan lanjut. – Agensi