PETALING JAYA – ANIH Berhad menjangkakan sejumlah 1,648,000 kenderaan bakal menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak (KLK) dan 704,000 di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sempena sambutan Adiladha tahun ini.
Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd. Radzi berkata, keadaan itu juga disebabkan orang ramai mengambil peluang bersama keluarga memandangkan cuti hujung minggu yang panjang dari 8 hingga 11 Julai nanti.
Katanya, berdasarkan trend hujung minggu yang stabil sejak awal tahun, purata harian hujung minggu bagi lebuh raya KLK adalah sebanyak 161,000 manakala jumlah kenderaan di LPT1 pula direkodkan sebanyak 65,000 kenderaan.
“Justeru itu ANIH Berhad yakin para pengguna lebuh raya lebih cakna dengan persediaan yang diperlukan bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa dan selamat menjelang sambutan Aidiladha tahun ini.
“Bagaimanapun, demi meningkatkan komitmen kami dalam menjamin keselesaan semua, jadual Cadangan Perjalanan (TTA) tetap dikeluarkan sebagai peringatan di setiap musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, antara langkah-langkah yang telah diambil oleh ANIH Berhad bagi meningkatkan tahap kesediaan pada musim perayaan kali ini ialah penambahan petugas-petugas dan anggota sebagai persediaan pengaktifan lorong-lorong tambahan jika berlaku peningkatan trafik.
“Selain itu juga, petugas juga akan membantu melancarkan aliran di lebuh raya dan mempertingkatkan tahap persediaan di semua fasiliti lebuh raya termasuk menjamin tahap kebersihan terbaik di semua Hentian Sebelah dan kawasan rehat.
“ANIH Berhad tetap ingin mengingatkan pengguna untuk memandu dengan berhemah, memastikan keadaan kenderaan optimum, memastikan baki e-wallet, kad Touch n’GO dan SmartTag mencukupi disamping mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE