fbpx

Konsert Kembara terjemahan suara generasi 1980-an

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN KEMBARA

UNGKAP Datuk M. Nasir: “Kita (Kembara) lahir zaman Dayabumi didirikan, dalam gelombang kerakyatan dan politik pada waktu itu. Kita lahir era itu. Kita rasa sesuai kembalikan nostalgia itu.”

Ringkas tetapi penuh jiwa. Begitu tokoh dengan jolokan sifu muzik itu menterjemahkan hubung kait zaman kelahiran Kembara dengan sebuah konsert besar hujung Julai nanti.

Berjarak masa lapan tahun, itu bukan jangka masa yang sekejap untuk sebuah rindu yang meranum.

Terakhir, pada 2014 kumpulan Kembara muncul dengan sebuah konsert di ibu kota, Kuala Lumpur. Berbekalkan persembahan 1001 kenangan tersebut, ada yang masih terheret ingatan terhadap lagu-lagu rakyat dan perjuangan muzik mereka.

Enggan terus berlama-lama atau sekadar merancang, apatah lagi saat pandemik tidak lagi menjadi pekung, kumpulan dengan nama penuh ikonik itu akan kembali dengan konsert yang dinamakan Kembara Panorama Jingga: 144 Hijrah.

M. NASIR menyifatkan pemilihan tajuk Konsert Panorama Jingga sebagai satu terjemahan terhadap suasana zaman kelahiran Kembara.

Melihat judulnya sahaja, acara yang dibawakan Shiraz Projects Sdn. Bhd. tersebut dijangka menjadi satu acara dinanti-nantikan.

Dijadualkan berlangsung pada 31 Julai 2022 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Konsert Panorama Jingga akan sekali gus membasuh kerinduan ramai.

Tidak sahaja memugar ingatan untuk sebuah kelana muzik panjang, konsert menghimpunkan tenaga dan kehebatan Datuk M. Nasir (vokal), Zoul (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md. Shah Othman (keyboard) tersebut akan turut mengheret penonton ke suatu dimensi bersama lagu-lagu berjiwa besar selama tertubuhnya Kembara.

Zoul selaku gitaris kumpulan yang ditubuhkan pada 1979 itu mengakui, semangat mereka kali ini lebih membara.

“Saya merasakan bahawa semangat kami lebih walaupun usia semua sudah agak menjangkau tetapi semangat kuasa kuda masih ‘maintain’.

“Kami betul-betul teruja dengan konsert yang akan datang ini,” katanya.

Kumpulan Kembara sudah memulakan persiapan sejak dua bulan lepas. Menarik lagi, pemilihan lagu-lagu untuk konsert kali ini dibayangkan dalam repertoir yang sangat istimewa dan rare!

TIDAK sekadar muzik dengan bunyi yang bersemangat keras, seni kata lagu Kembara yang bertemakan kerakyatan menjadi identiti paling mahal kumpulan berkenaan.

“Kita banyak nak kena main lagu-lagu yang kita belum pernah mainkan lagi. Jadi praktis kena lebih. Tentang pemilihan lagu yang belum pernah dimainkan, istimewanya kerana lagu-lagu itu dirakamkan lebih 30 tahun.

“Tak disangka apabila Kembara semak balik lagu-lagu yang ada, kita sendiri jadi ‘ehh lagu ni sedap’ dan patut diketengahkan sebelum ini,” ujar mereka bersama.

Buat Shahrum, pemain dram yang tidak dapat beraksi dalam konsert terdahulu, dia sangat ternanti-nantikan acara besar Kembara menjelang 31 Julai ini.

“Saya rasa konsert ini macam yang terbaik untuk semua kerana konsert yang lepas saya tak dapat main disebabkan tuntutan kerja. Saya berasa bangga,” kata Shahrum seraya menjanjikan persembahan terbaik.

Suara generasi

Menjanjikan keistimewaan, M. Nasir sendiri menyifatkan konsert berkenaan sebagai terjemahan suara satu generasi.

“Istimewanya, konsert ini merupakan suara satu generasi. Generasi yang saya maksudkan ialah generasi 1980-an.

“Selain muzik rock yang keras, Kembara membawakan satu muzik yang berbeza iaitu dari segi seni kata.

“Kembara banyak bertemakan kerakyatan dan itu ciri khas dia,” terangnya yang merupakan vokalis dan pengasas Kembara.

SELEPAS lapan tahun, Kembara kembali dengan penganjuran konsert besar yang akan berlangsung di Dewan Plenari, KLCC pada 31 Julai ini.

Tambahnya: “Ini bukan muzik lama tapi muzik sekarang. Bila kita buat muzik, kita tidak tuju kepada generasi itu (1980-an) sahaja. Bentuk muzik akan menjangkau generasi.”

Shirazdeen Karim selaku Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects pula berkata, sudah lama pihaknya mengimpikan untuk bekerjasama dengan kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu malar segar seperti Hati Emas dan Ekspres Rakyat itu.

“Untuk tahun ini, kami sangat bersemangat untuk membawakan lagu- lagu Kembara berkumandang di dewan berprestij iaitu Dewan Plenari, KLCC nanti.

Melihatkan sokongan yang diberikan kepada penghibur tanah air yang muncul dengan pelbagai konsert tahun ini, Konsert Panorama Jingga 1444H juga menjanjikan bukan sahaja hiburan tetapi sajian jiwa untuk seluruh pencinta muzik.

Tiket-tiket berharga RM160 hingga RM860 sudah dijual mulai 10 Jun 2022 lalu. Layari laman web www.myticket.asia untuk maklumat lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI