MENCIPTA fenomena global menerusi kemunculannya dalam drama The Red Sleeve pada tahun lalu meninggalkan impak luar biasa buat karier Junho.
Dedah Junho, selepas membintangi drama berkenaan, dia dihujani lebih 100 tawaran berlakon drama daripada produksi berbeza yang menagih pesonanya selaku pelakon utama.
“Memang betul, saya terima 100 tawaran drama.
“Saya ambil masa yang sangat lama meneliti semua skrip sebab terlalu ramai yang mahukan saya,” katanya ketika menjadi tetamu program Yoo Quiz On The Block.
Anggota kumpulan 2PM itu menuai perhatian yang luar biasa selepas The Red Sleeve menemui penonton, sekali gus menjadikan Junho sebagai antara aktor terlaris di Korea Selatan ketika ini.
Seiring dengan populariti yang sedang memuncak, Junho mengakui, impiannya untuk melebarkan karier lakonannya di peringkat Hollywood semakin menyala.
Bukan setakat itu, dia bahkan bercita-cita untuk memenangi trofi Oscars dan menyertai Festival Filem Cannes suatu hari nanti.
“Itu impian yang saya ada sejak dari kecil. Kalau kita ada sasaran, mestilah kita akan buat yang terbaik untuk mencapainya,” katanya.