fbpx

Jual roti canai RM1 sejak 2016

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL masih mengekalkan harga RM1 bagi sekeping roti canai sejak tahun 2016 di gerainya di Jalan Permatang Rawa, Bukit Mertajam.

SEBERANG PERAI – Seorang peniaga mengekalkan harga RM1 bagi sekeping roti canai di ge­rainya di Jalan Permatang Rawa, Bukit Mertajam di sini meskipun berdepan dengan kenaikan mendadak kos barangan ketika ini.

Ismail Ibrahim, 63, berkata, dia masih mengenakan harga roti canai itu sejak enam tahun lalu kerana mahu berkongsi rezeki dengan pelanggan setianya.

“Ketika ini, semua harga bahan mentah naik. Sebelum ini harga seguni tepung gandum dengan kuantiti 25 kilogram (kg) adalah RM50, tetapi sekarang RM70 seguni, manakala 10kg kacang parpu pula RM23 dan kini harganya RM32.

“Situasi kenaikan harga bara­ngan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya ketika ditemui di gerainya semalam.

Menurut pemilik Kedai Roti Canai Ismail, ekoran situasi kenaikan harga barangan ketika ini, dia tidak tergamak untuk menaikkan harga meskipun untung yang diperoleh tidak besar.

“Untung tidak banyak, asalkan boleh buat pusingan modal saya bersyukur. Yang penting niat saya mahu berkongsi rezeki dengan pelanggan yang selama ini menyokong perniagaan ini selama hampir 40 tahun,” katanya yang memulakan perniagaan makanan itu sejak 1982.

Ujarnya lagi, kira-kira 250 ke­ping roti canai dengan beberapa pilihan menu seperti roti canai banjir, roti canai telur serta roti canai sardin selain roti canai kosong habis dijual setiap hari.

“Biasanya pelanggan lebih gemar makan roti canai banjir iaitu campuran kuah kari dan kuah parpu bersama telur sebiji yang berharga cuma RM2,” ujarnya.

Sementara itu, pelanggan se­tia Azimin Ramli, 37, berkata, dia sanggup berulang-alik dari rumahnya di Kulim, Kedah ke Permatang Rawa untuk memakan roti canai banjir Ismail.

“Harga berpatutan teksturnya juga lembut. Susah hendak dapat harga (RM1) seperti itu di kedai-kedai lain sekarang,” katanya yang menjadi pelanggan setia Ismail sejak 11 tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI