KUALA TERENGGANU – Jenazah Maimun Yusof, 103, atau Tok Mun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Atas Tol di sini sebentar tadi.
Upacara pengebumian jenazah Tok Mun yang merupakan bekas calon tertua Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan ke-13 selesai sepenuhnya pada pukul 10.45 pagi.
Terdahulu, jenazah wanita warga emas berkenaan dikafan dan disolatkan di Masjid Kampung Atas Tol di sini kira-kira 45 minit sebelum itu.
Kosmo! Online semalam melaporkan Maimun menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua di kediamannya di Kampung Sungai Atas Tol di sini pada pukul 3.30 petang semalam.
Pada 2008, Maimun pada usia 89 tahun mencuri tumpuan gelanggang politik tanah air apabila bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu sebagai calon bebas namun hilang wang pertaruhan apabila sekadar meraih 685 undi.
Lima tahun kemudian, Maimun sekali lagi menjadi calon bebas di parlimen sama namun sekadar mendapat 182 undi. – KOSMO! ONLINE