PUTRAJAYA – Operasi dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint (SKPP) 11(3) dan SKPP 18(1) di sini telah kembali dijalankan secara satu sesi bermula hari ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau dimaklumkan tentang perubahan tersebut pada petang semalam dan telah mengambil kesempatan untuk meninjau sendiri operasi di kedua-dua sekolah itu pagi tadi.
“Petang semalam saya dimaklumkan bahawa sesi persekolahan di SKPP 11(3) dan SKPP 18(1) akan kembali dijalankan secara satu sesi bermula pagi ini, iaitu 4 Julai 2022.
“Jadi, saya ambil kesempatan awal pagi tadi untuk meninjau operasi di sekolah tersebut. Ini pastinya berita baik buat seluruh warga sekolah serta ibu bapa dan murid yang telah mengikuti sesi persekolahan dua sesi sejak Mac lepas,” katanya menerusi satu ciapan di laman Twitter hari ini.
Jelas beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengikhtiarkan yang terbaik dalam memastikan infrastruktur sekolah digunakan secara optimum agar dapat beroperasi dengan lancar.
“Semoga keadaan ini membantu pelaksanaan pembelajaran yang lebih kondusif kepada seluruh warga sekolah, khususnya anak-anak generasi pewaris negara,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE