KELIBAT beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin mungkin tidak dapat disaksikan pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters yang bermula esok selepas Yew Sin mengesahkan dia positif Covid-19.
Yew Sin bagaimanapun menjelaskan, dia tidak tahu bilakah terkena jangkitan virus tersebut memandangkan hanya sedar mengalami simptom Covid-19 pagi kelmarin sebelum melakukan ujian calitan.
Justeru, situasi tersebut nyata menyebabkan peluang Ee Yi-Yew Sin untuk beraksi pada Malaysia Masters dalam keadaan samar memandangkan dia perlu menjalani kuarantin kendiri ketika ini.
“Sekiranya saya sudah menyusahkan anda atau keluarga, saya meminta maaf. Saya tidak tahu bilakah masanya terkena jangkitan (Covid). Saya hanya tersedar ketika bangun pagi dan merasakan tekak tidak seperti biasa.
“Saya buat ujian kendiri sebelum latihan dan ia menunjukkan negatif. Sebaik tamat latihan, saya buat ujian sekali lagi dan menunjukkan dua garis sebelum melakukan PCR,” katanya menerusi laman Instagram.
Menerusi kemas kini yang dilakukan, pemain berusia 27 tahun itu mengalami demam, sakit kepala dan tekak, namun dia meminta peminat supaya tidak bimbang kerana keadaannya masih terkawal.
Berdasarkan undian yang dibuat Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Ee Yi-Yew Sin dijadualkan bertemu beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han pada pusingan pertama Malaysia Masters.
Terdahulu, beregu No.10 dunia itu melayakkan diri ke pusingan suku akhir pada kejohanan Terbuka Malaysia sebelum tewas 13-21, 9-21 kepada wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.