BARCELONA – Barcelona dilapor sedia melepaskan khidmat Memphis Depay bagi menampung perbelanjaan untuk cuba mendapatkan pemain Leeds United, Raphinha.
Menurut laporan di Sepanyol, penyerang Belanda itu hanya mampu beraksi sehingga pertengahan musim lalu kerana berdepan masalah kecederaan dan kini Depay turut akui khidmatnya tidak lagi berada dalam perancangan jurulatih, Xavi.
Menerusi laporan sama, The Catalans sedang mencari mana-mana kelab yang sedia membeli Depay dengan harga £21.5 juta (RM114.6 juta) dan dana itu akan digunakan bagi menandatangani Raphinha.
“Saya dapat lihat perancangan yang sedang berjalan dalam hidup saya sebagai pemain bola sepak. Sepanjang hidup, saya belum cukup bagus dan tidak memenuhi standard dan tidak memiliki sikap yang betul,” kata Depay menerusi ciapan di Twitter.
Barcelona yang memiliki Ferran Torres, Ansu Fati dan Abde sebagai alternatif lain mungkin tidak akan merasai kesan biarpun kehilangan Depay, malah mereka juga perlu melepaskan pemain itu sebagai salah satu cara untuk mengekalkan Ousmane Dembele.
Ketika ini, keputusan Barcelona untuk melepaskan Depay adalah muktamad, namun impian mereka untuk memburu Raphinha tidak mudah apabila berdepan tentangan Chelsea.
Depay yang merekodkan 12 gol dalam 28 penampilan di La Liga turut menarik minat daripada Tottenham Hotspur dan Arsenal dengan kedua-dua kelab Inggeris itu sedia membuat pelaburan mendapatkannya. – AGENSI