PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan seluruh negeri Perlis dan beberapa daerah di Kedah.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, amaran itu dikeluarkan berikutan hujan lebat berserta angin kencang yang diramal melanda dua negeri itu sehingga 4 petang nanti.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di negeri Perlis serta beberapa daerah di Kedah iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena.
“Keadaan itu diramalkan berlaku sehingga 4 petang ini,” katanya di sini hari ini.
Katanya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE