fbpx

AFES jimat kos rawat sisa pepejal bersistematik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFES memiliki kakitangan berkemahiran selain pelbagai aset canggih bagi kelancaran operasi KLTS.

PETALING JAYA – Alam Flora Environmental Solutions (AFES) telah menyediakan pelan jangka masa panjang bagi menjadikan Stesen Pemindahan Kuala Lumpur (KLTS) sebagai pusat rawatan awalan sisa pepejal paling sistematik di ibu negara.

Ketua Pegawai Operasi AFES, Nazar Abdul Raof berkata, rawatan bermaksud KLTS yang sekarang ini berfungsi sebagai pusat transit sisa pepejal yang akan memproses sisa yang masuk dan hanya sisa tidak dapat digunakan akan dihantar ke tapak pelupusan.

“Ini akan dapat memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan selain dapat menjimatkan kos yang terpaksa ditanggung kerajaan.

“Seramai 153 kakitangan berkemahiran serta pelbagai aset seperti 40 unit ‘prime mover’, 64 unit kontena, empat unit mesin pemampat serta air larut resap pre-treament memastikan operasi KLTS berjalan dengan lancar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambah beliau, dengan kakitangan yang berkemahiran, KLTS dapat diuruskan dengan baik dan operasi berjalan dengan lancar.

Untuk rekod katanya, AFES ditubuhkan untuk menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelbagai syarikat swasta dan agensi-agensi serta institusi kerajaan ke arah pembangunan kelestarian alam sekitar.

Selain memiliki kepakaran dalam menyediakan perkhidmatan alam sekitar yang komprehensif untuk peningkatan kualiti hidup, AFES juga sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan alam sekitar yang berkualiti tinggi di mana kepuasan pelanggan-pelanggan adalah keutamaannya.

Mengulas lanjut, Nazar berkata, ciri-ciri unik yang ada pada KLTS kendalian AFES yang menjadikannya stesen transit terbaik di negara adalah penggunaan teknologi ‘Horizontal Compaction System’.

Menurut beliau, sistem itu mampu menyimpan sisa untuk sementara waktu sebelum ia dipindahkan ke dalam kontena untuk proses pelupusan.

Malah, kata beliau, sistem yang diguna pakai itu telah terbukti mampu menguruskan jumlah kapasiti sisa yang besar dengan cepat, mudah dan efisien.

Jelas beliau, jurutera dan kakitangan teknikal juga memainkan peranan penting agar mesin dapat berjalan dengan lancar dan sisa pepejal tidak ada yang tertinggal.

“Mesin yang digunakan di KLTS dapat bertahan dengan lebih lama. Loji rawatan air larut resap di KLTS juga adalah yang terbaik dan menepati piawaian Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

Justeru, katanya, beliau yakin KLTS mampu menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota raya yang lestari di mana dengan adanya KLTS, kecekapan pengurusan sisa pepejal menjadi lebih efisien dan sistematik.

Tambah beliau, KLTS dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) sebanyak lebih 41 juta kg CO2 setahun bersamaan dengan 1 juta pokok yang perlu ditanam bagi menyerap CO2 yang dikeluarkan.

“Ini adalah salah satu cara bagi merealisasikan matlamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjadikan ibu negara sebagai bandar raya rendah karbon dan berdaya tahan menjelang 2050,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi Rakan Alam Malaysia, Zikrullah Ismail mengakui, pusat pemindahan sisa pepejal yang diuruskan dengan sempurna dan efisien adalah penting untuk mengelakkan bencana berlaku di tapak pelupusan sampah.

“Kita tidak mahu bencana seperti kebakaran di tapak pelupusan Pulau Burung berulang. Kebakaran telah menyebabkan penduduk berhampiran terpaksa dipindahkan.

“Pusat pemindahan sisa pepejal yang efisien dapat mengelak lambakan di tapak pelupusan sampah sekali gus mengelakkan bencana daripada berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Zikrullah berkata, kewujudan pusat pemindahan sisa pepejal adalah seiring dengan usaha kesedaran kitar semula di negara ini.

Menurut beliau, pusat pemindahan sisa pepejal yang berfungsi dengan baik membolehkan sisa pepejal diuruskan secara fokus sebelum di hantar ke tapak pelupusan sampah.

Sementara itu, rata-rata warga kota khususnya mereka yang tinggal di sekitar Kepong melahirkan rasa puas hati dengan transformasi yang dilakukan AFES termasuk mewujudkan KLTS pada 2014.

Menurut penduduk, masalah bau busuk, sisa pepejal yang dibiarkan berlonggok di bahu jalan juga telah diatasi sejak pengambilalihan pengurusan oleh pihak berkenaan.

Pegawai akaun sebuah syarikat swasta, Md. Raduan Kassim, 42, berkata, dia melihat perubahan yang amat drastik telah berlaku terhadap KLTS berbanding keadaannya yang agak teruk sebelum ini.

“Sebelum tahun 2014, tempat itu mengeluarkan bau busuk dan motosikal saya jadi busuk kerana meredah jalan raya yang dicemari air sampah ketika mahu ke tempat kerja di Kepong.

“Dahulu saya terpaksa melihat keadaan sampah sarap apabila melalui kawasan berkenaan, kini saya sudah bekerja di tempat lain dan mendapati pemandangan itu sudah tiada apabila pergi ke kawasan itu semula,” katanya.

Md. Raduan berkata, beliau turut melihat banyak pembangunan telah berlaku di kawasan berhampiran KLTS sejak keadaan stesen pemindahan sisa pepejal itu ditambah baik.

Penduduk asal Kepong. Ahmad Khailani, 38, pula mengakui suasana di kawasan tempat tinggalnya sudah jauh berbeza sejak beberapa tahun lalu dan berharap keadaan sebelum ini tidak berulang.

“Harap terus okay apabila komuniti setempat dapat menikmati persekitaran yang bersih. Kami harap pengurusan AFES terus menjalankan tanggungjawab dengan baik bagi melestarikan ibu negara,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI