fbpx

6 pendaki terkorban glasier Banjaran Alps runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar menunjukkan runtuhan glasier di Gunung Marmolada, Banjaran Alps yang menyebabkan batuan ais jatuh ke kawasan pendakian popular. – AFP

ROM, ITALI – Sekurang-kurangnya enam pendaki terbunuh,  manakala 10 yang lain dilaporkan masih hilang dalam bencana  runtuhan salji di Banjaran Alps di sebelah Itali semalam, lapor akhbar The Sun.

Laporan menyatakan, sekurang-kurangnya lapan mangsa lain cedera selepas bongkah ais dan batu menimpa  sebuah kawasan pendakian popular.

Kemalangan itu mendorong arahan pemindahan dikeluarkan di kawasan Gunung Marmolada,  Banjaran Alps. Pegawai-pegawai memberi amaran, terdapat kemungkinan berlakunya runtuhan susulan.

Lima buah helikopter dan beberapa ekor anjing pengesan tambahan turut dikerah ke lokasi kejadian bagi mencari mangsa yang tertimbus, lapor akhbar Itali, La Repubblica.

“Kami mendengar  bunyi yang amat kuat, kemudian melihat runtuhan salji dan ais berlaku,” kata seorang saksi.

Seorang anggota penyelamat gunung, Luigi Felicetti berkata, dia melihat beberapa orang meninggal dunia di celah-celah ketulan besar ais dan batu.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa tempatan mengesahkan operasi menyelamat sedang dilakukan sambil menambah, jumlah mangsa mungkin lebih ramai.

Marmolada merupakan gunung tertinggi di wilayah Dolomites, yang merupakan sebahagian daripada Banjaran Alps di Itali.

Seorang jurucakap pasukan penyelamat Alpine berkata, runtuhan ais jatuh di kawasan yang kebiasaannya dilalui oleh kumpulan  pendaki untuk sampai di puncak gunung.

Wilayah tersebut dilanda gelombang haba sejak beberapa minggu lalu dengan  puncak Dolomite turut mencatat  suhu tertingginya. Situasi itu mungkin mendorong berlakunya bencana glasier runtuh. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI