LONDON – Percutian musim panas di Eropah bertukar huru-hara tahun ini berikutan mogok besar-besaran oleh pekerja penerbangan di samping masalah kekurangan kakitangan, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Pelancong Britain berdepan masalah seperti penangguhan jadual, pembatalan penerbangan dan kehilangan bagasi di beberapa lapangan terbang paling sibuk di negara itu sejak beberapa minggu lalu.
Lebih banyak isu lain dijangka berlaku selepas kakitangan syarikat penerbangan British Airways di Lapangan Terbang Heathrow membuat keputusan mengadakan piket.
Kira-kira 700 pekerja dilaporkan akan melancarkan mogok antara bulan ini hingga September selepas British Airways gagal membayar potongan gaji 10 peratus yang dilakukan semasa pandemik.
Namun, situasi itu tidak hanya berlaku di Britain. Pekerja sektor penerbangan di negara Eropah lain termasuk Perancis, Sepanyol, Itali, Jerman dan rantau Scandinavia juga merancang untuk mogok.
Selain itu, isu kekurangan pekerja turut menyebabkan masalah seperti penangguhan jadual penerbangan dan pengurusan bagasi di lapangan terbang di Romania serta Portugal.
Menurut laporan, kakitangan syarikat penerbangan Easyjet akan melancarkan mogok tiga fasa pada bulan ini yang bermula kelmarin dan hari ini di samping 15 hingga 17 Julai serta 29 hingga 31 Julai ini.
Kakitangan Ryanair pula berpiket selama tiga hari di Sepanyol yang bermula Khamis lalu hingga semalam. Tindakan mereka menyebabkan penerbangan di 10 lapangan terbang Sepanyol termasuk Madrid, Malaga, Barcelona, Alicante, Sevilla dan Palma terjejas.
Mogok serupa diadakan di Lapangan Terbang Charles de Gaulle (CDG), Paris dan beberapa lapangan terbang lain.
Pihak berkuasa penerbangan awam Perancis berkata, 17 peratus daripada penerbangan yang telah dijadualkan dibatalkan kelmarin dan banyak lagi dijangka berdepan nasib sama. – Agensi