ALOR GAJAH – Isu bekalan minyak masak peket bersubsidi yang tidak mencukupi sehingga ramai pengguna meluahkan rasa kecewa berpunca daripada ketirisan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, jumlah subsidi yang diberikan kerajaan adalah mencukupi dengan bekalan 720,000 metrik tan setahun.
Katanya, jumlah tersebut meliputi nisbah dua peket minyak masak untuk setiap rakyat Malaysia iaitu seramai 32 juta orang, sekali gus memperlihatkan berlaku ketirisan dalam isu kekurangan minyak peket.
“Setiap bulan kerajaan membekalkan 60,000 metrik tan untuk minyak bersubsidi yang dijual pada harga RM2.50 satu kilogram dan kita dah kira minyak 60,000 metrik tan setiap bulan cukup untuk 32 juta rakyat Malaysia.
“Setiap rakyat akan dapat sekurangnya dua peket minyak masak bagi sebulan, satu isi rumah 10 peket dan mak cik goreng pisang pun boleh dapat minyak ini, isu yang terjadi disebabkan ketirisan, sorok dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di ladang koko di Panchor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menangani isu ketirisan.
“Walaupun penguatkuasaan kawalan bukan di bawah kementerian saya, namun kita akan bekerjasama dengan KPDNHEP untuk memastikan tak ada pembekal yang menyorok, menjual minyak peket bersubsidi secara pasaran gelap.
“Kerajaan tidak tarik pun subsidi minyak sawit, kita dah bertahun-tahun beri, sekarang kita beri 60,000 metrik tan satu bulan atau 720,000 setahun dan tak ada isu tentang minyak ini hanya untuk B40, M40 atau T20 pun,” katanya.
Tambahnya, kini semua agensi terlibat sedang meningkatkan penguatkuasaan untuk memastikan bekalan minyak masak peket bersubsidi dihantar pengilang terus ke peruncit untuk dijualkan kepada pelanggan.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang dikesan menyorokkan atau menyeludup bekalan akan berdepan tindakan tegas termasuk lesen perniagaan ditarik balik. – KOSMO! ONLINE