KUALA LUMPUR – Empat Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kenyir, Terengganu kembali beroperasi sepenuhnya pada 26 jun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, stesen yang terpaksa dihenti tugas pada 27 Februari lalu akibat kejadian tanah runtuh berikutan hujan lebat itu berjaya dimula tugaskan tiga bulan lebih awal dari perancangan asal.
Menurutnya, pencapaian tersebut penting bagi membolehkan stesen dapat menurunkan paras air tasik menjadi lebih rendah sebagai persediaan untuk menerima air hujan lebih banyak pada musim monsun yang dijangka pada bulan November nanti.
Jelasnya, secara purata SJSM apabila beroperasi kapasiti penuh mampu menyumbang 1,600 gigawatt- jam setahun, sekali gus menghindari pelepasan 537,600 tan carbon dioksida jika menggunakan sumber bahan api fosil (gas), bersamaan pelepasan karbon daripada 116,869 kenderaan setahun.
“Harapan kita agar keempat-empat unit penjanaan SJSM dengan kapasiti keseluruhan 400 MW beroperasi dalam keadaan baik dan terus memberikan manfaat kepada semua rakyat Malaysia dari segi tenaga hijau.
“Ia berikutan kenaikan luar biasa harga ekoran krisis bahan api dunia pasca pandemik dan diburukkan lagi oleh perbalahan Rusia-Ukraine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Baharin berkata, pemulihan SJSM ini dapat mengukuhkan kembali penjanaan tenaga hijau TNB melalui tiga skim hidroelektrik iaitu skim hidroelektrik Hulu Terengganu di Terengganu, Cameron Highlands di Pahang dan Sungai Perak di Perak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE