fbpx

Silap sendiri, bukan pengadil – Yew Sin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YEW SIN (kanan) mengakui bahawa aksinya bersama Ee Yi serba tidak menjadi, sekali gus menyumbang kekalahan kepada pasangan dari Indonesia itu. – AFP

BEREGU profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi enggan menjadikan keputusan pengadil memberikan ‘mata percuma’ kepada lawan sebagai punca mereka tersingkir di peringkat suku akhir Terbuka Malaysia.

Pasangan negara yang ketika ini berada di ranking ke-10 dunia itu kempunan untuk melangkah ke separuh akhir selepas tumbang 13-21, 9-21 kepada beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Sebaliknya, Yew Sin, 27, menganggap taktikal permainan tidak menjadi sebagai faktor kekalahan mereka kepada kepada pasangan No.7 dunia itu pada aksi di Axiata Arena, Bukit Jalil malam kelmarin.

“Pengadil ada bagi mata dekat pihak lawan. Dia cakap bola (bulu tangkis) sudah mengenai lantai, tetapi sebenarnya bola belum mati lagi.

“Memang ada rasa sedih, tetapi kami tiada pilihan selain menerimanya sahaja. Untuk membuat challenge pun tak berguna kerana ini bukannya in atau out.

“Bukan tak mahu menang atau ambil mata, tetapi kami sudah cuba lakukan yang terbaik. Permainan kami serba tak menjadi, kami terikut cara mereka bermain,” kata pemain berasal dari Melaka itu.

Yew Sin-Ee Yi memulakan kempen Terbuka Malaysia kali ini dengan langkah kanan apabila menewaskan Wan Muhammad Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri sebelum menumbangkan beregu No.3 dunia dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin di pusingan kedua.

Beregu negara yang memenangi tempat ketiga Kejohanan Dunia 2021 itu boleh menebus semula kekecewaan mereka apabila dijadualkan mengambil bahagian pada saingan Malaysia Masters bermula Selasa ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI