KAJANG – Seorang pekerja lelaki melecur pada bahagian kepala dan badan selepas sebuah kedai serbaneka yang terkenal di Jalan Reko, dekat sini terbakar hari ini.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1.08 petang.
“Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, Bangi dan Semenyih dikejarkan ke lokasi.
“Semasa tiba di tempat kejadian pukul 1.13 tengah hari didapati satu lot bangunan kedai tiga tingkat terbakar 40 peratus di bahagian stor di tingkat satu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri di laluan tangga kecemasan dalam bangunan berkenaan.
“Mangsa yang juga pekerja kedai berusia 35 tahun itu didapati melecur pada bahagian kepala dan badan serta dikejarkan ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE