MARANG – Masalah muara Sungai Merchang di sini cetek hingga membahayakan keselamatan nelayan dijangka selesai pada hujung tahun hadapan.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek pemuliharaan Sungai Merchang bernilai RM30.5 juta itu dijangka akan siap sepenuhnya pada 14 Disember 2023.
“Ia melibatkan kerja-kerja pengorekan alur navigasi dari muara Sungai Merchang hingga ke jeti pendaratan ikan.
“Selain itu, struktur pemecah ombak, struktur dinding penahan dan lapis lindung akan turut dibina di kawasan terbabit,” katanya selepas melancarkan projek pemulihan dan pengawalan hakisan pantai di Merchang di sini hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, projek terbabit membabitkan penyuburan pantai di Pantai Merchang yang sejajar dengan muara Sungai Merchang.
Jelas beliau, pembinaan projek berkenaan dapat melindungi lebih 100 bot nelayan dan pelancong yang sering rosak akibat muara sungai yang cetek dan sering dipukul ombak.
Kosmo! 1 Mei 2021 melaporkan lebih 10,000 nelayan di Pahang dan Terengganu termasuk Merchang terus dibelenggu masalah muara cetek memaksa mereka melabuhkan bot pada jarak 50 meter dari persisir pantai hingga ada yang mati ketika cuba berenang untuk pulang segera ke jeti.
Lebih memenatkan apabila kebanyakan nelayan perlu menunggu lebih lima jam di tengah laut dalam keadaan panas terik atau hujan sehingga air surut sebelum boleh berenang. – KOSMO! ONLINE