PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan tiga pengamal media dikasari petugas Unit Tindakhas (UTK) PDRM ketika majlis sebuah parti politik di Tanah Merah, Kelantan semalam.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, setakat ini pihaknya mengesahkan tiada petugas UTK yang terbabit dalam insiden tersebut.
“Namun kita (polis) sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam kejadian itu.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil sekiranya siasatan mengesahkan terdapat sebarang bentuk pelanggaran kod etika dan tatasusila oleh mana-mana petugas keselamatan semasa menjalankan penugasan di majlis itu,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.
Menurutnya, PDRM sentiasa menghargai pengamal media dan menghormati peranan mereka dalam menyebar luas informasi kepada masyarakat khususnya bagi membantu memerangi jenayah.
“Hubungan erat pengamal media dan PDRM selama ini akan dikekalkan supaya masyarakat mendapat maklumat yang tepat melalui sumber yang sahih,” katanya.
Terdahulu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam insiden kekasaran yang didakwa dilakukan terhadap tiga orang petugas media oleh anggota pasukan keselamatan dalam majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan.
Dalam insiden itu, seorang wartawan lelaki mendakwa ‘ditampar’ di bahagian perut, manakala seorang lagi wartawan wanita mendakwa ‘dicengkam leher’ ketika berada di bawah pentas utama yang membariskan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dua pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mustapa Mohamed. – KOSMO! ONLINE