KINGSTON, Jamaica – Seorang nelayan di Jamaica hilang sebelah lengannya apabila diserang oleh seekor jerung sepanjang 4.57 meter, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Michael Simpson bernasib baik kerana diselamatkan oleh nelayan lain yang mendengar jeritan mangsa.
Simpson yang menangkap ikan selama 29 tahun, sedang belayar dari Salt River di daerah Clarendon ketika kejadian. Lokasi itu terletak 48 kilometer dari ibu negara Jamaica, Kingston, lapor akhbar The Gleaner.
Ketika memancing di lokasi tersebut di antara Pulau Half Moon Cay dan Teluk Miller kira-kira pukul 2 petang (waktu tempatan), Simpson berasa seperti sesuatu berada di dalam air berhampirannya.
“Ia meluru ke arah saya tetapi pada awalnya saya menyangka ia adalah jenaka salah seorang rakan saya,” katanya.
Dia kemudian menyedari ‘benda’ yang menerkam itu adalah jerung. Simpson cuba menolak haiwan pemangsa itu dengan pistolnya.
Namun, jerung itu menyambar dan Simpson menjerit meminta tolong. Kebetulan, seorang nelayan yang berada di lokasi itu mendengar jeritannya.
Nelayan itu memandu botnya untuk membantu Simpson. Namun, tangan mangsa sudah putus hingga paras bahu. Dia membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Simpson bimbang kehilangan tangannya itu akan menyukarkan dia mencari rezeki untuk menyara keluarga. – Agensi