LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya masih banyak boleh dicapai Mohamed Salah yang menamatkan spekulasi mengenai masa depannya apabila menandatangani kontrak baharu selama tiga musim.
Difahamkan, kontrak baharu penyerang sensasi berusia 30 tahun itu akan menjadikan dia sebagai penerima gaji tertinggi sepanjang zaman Liverpool dengan jumlah £350,000 (RM1.86 juta) seminggu sehingga 2025.
Menerusi perjanjian lanjutan baharu itu, Salah akan terus menjadi kunci kepada harapan The Reds untuk menamatkan penguasaan seteru utama, Manchester City di bawah kendalian Klopp selepas ini.
“Ia adalah hidangan istimewa untuk penyokong kami nikmatinya hujung minggu mereka dengan lebih bermakna. Saya pasti akan ada beberapa sambutan selepas berita ini.
“Ia adalah keputusan terbaik buat kami dan juga dirinya. Dia sudah menjadi milik Liverpool sekarang.
“Tanpa ragu-ragu, tahun-tahun terbaik Mo (Salah) akan datang selepas ini. Lima musim pertama dia di sini sudahpun menjadikan dia seorang legenda,” kata Klopp.
Situasi itu kembali menaikkan semangat para peminat Liverpool untuk melihat gandingan trio baharu yang akan diketuai Salah bersama Luis Diaz dan penyerang yang dibeli daripada Benfica, Darwin Nunez baru-baru ini.
Salah berhijrah ke Anfield daripada AS Roma pada 2017 dan telah memenangi segala-galanya bersama Liverpool termasuk Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris, Piala Kelab Dunia, Piala Super Eropah, Piala FA dan Piala Liga Inggeris. – AGENSI