KUALA NERUS -.Terengganu FC (TFC) membuatkan Sri Pahang dalam kedudukan semakin tertekan apabila memenangi aksi derbi Pantai Timur 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan TFC naik ke tangga kelima mengumpul 13 mata manakala Sri Pahang pula terus dirundung malang di kedudukan kedua tercorot dengan lapan mata.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk mendahului hasil sepakan leret Kpah Sherman dari dalam kotak penalti berpunca umpanan Petrus Shitembi seawal minit pertama.
Jaringan itu menyemarakkan semangat TFC menyaksikan rembatan deras pemain tengah, Manuel Ott pada minit ke-21 ditepis penjaga gol pelawat, Mamadou Samassa.
Bersambung babak kedua, TFC terus berpeluang menggandakan jaringan namun Sherman (m-66) mensia-siakan situasi satu lawan satu berdepan penjaga gol lawan itu.
Sri Pahang dihidangkan peluang terbaik dua minit kemudian malangnya bola tolakan Abdul Malik Mat Ariff dikeluarkan Shahrul Nizam Roshasni di atas garisan gol ketika penjaga gol sudah tertewas.
Kesempatan itu diambil TFC untuk menjarakkan kedudukan hasil sepakan penalti Faisal Abdul Halim selepas dia dikasari Shahrul Aizad Zulkifli pada minit ke-80.
Jaringan saguhati Sri Pahang hanya dihasilkan pada minit ke-86 menerusi Abdul Malik yang bijak melepasi perangkap ofsaid tetapi sudah terlewat untuk menghalang kemenangan TFC. – KOSMO! ONLINE