SEREMBAN – Luluh hati seorang wanita apabila melihat suaminya terpaksa menanggung kesakitan kulit di seluruh anggota badan akibat penyakit bawaan virus Varicella Zoster.
Maya Suryani Sumiran, 35, berkata, penyakit itu dikesan suaminya, Nofrizal Sofyan Effendy, 48, bermula dengan kudis kecil pada lengan sebelum merebak ke seluruh anggota badan.
“Saya sedih melihat suami menangis menahan sakit, kulitnya rasa panas terbakar dan terlalu pedih seperti diperah air limau serta seakan disiat-siat dan dicucuk dengan jarum.
“Dia sangat terseksa, dia juga susah hendak makan sebab ada ulser dalam mulutnya,” katanya di rumah sewanya di Kampung Jiboi di sini semalam.
Terdahulu, Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan menyampaikan bantuan barang keperluan kepada keluarga tersebut.
Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) turut memberi sumbangan tilam angin dan bantuan wang tunai kepada keluarga Nofrizal.
Maya Suryani berkata, mereka sekeluarga kini hilang punca pendapatan, malah dia juga perlu menguruskan dua anaknya, Muhammad Aqil Reyhan, 5, dan Aisyah Aalya, 2, serta ibu mentua yang tinggal bersama.
Katanya yang juga suri rumah, pelbagai ikhtiar telah dilakukan untuk merawat suaminya sebelum ini termasuk ke klinik dan perubatan secara tradisional.
“Keadaan kulitnya tetap sama, namun begitu saya tidak pernah patah semangat dan positif dia akan kembali pulih,” ujarnya.
Menurutnya, wang simpanan juga telah habis dan barang kemas terpaksa digadaikan untuk membayar kos perubatan suami.
“Sewa rumah juga sudah tertunggak selama tujuh bulan selepas suami terlantar,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Maya Suryani di talian 010-518 2634 atau menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0500141100025127 (Nofrizal).