PETALING JAYA – Tindakan tegas perlu diambil terhadap individu yang berani menghasut golongan ibu supaya memilih untuk bersalin di rumah.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Amirul Amzar berkata, tindakan di bawah Akta Bidan 1966 (Pindaan 1990) boleh diambil bagi menghalang perbuatan tersebut.
“Apabila ada individu yang dengan berani menghasut kelahiran tidak selamat sebegini, saya ragu-ragu di manakah tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mencegah perkara ini menjadi lebih teruk.
“Sedangkan kita ada Akta Bidan 1966 (Pindaan 1990) yang berfungsi untuk menghalang perkara sebegini berlaku,” katanya pada hantaran Facebook.
Beliau berkata, perbuatan penghasut itu boleh mempengaruhi masyarakat untuk membuat amalan yang bukan sahaja boleh membahayakan ibu, malah mengundang kematian dan kecacatan bayi.
“Ada individu (dan saya yakin bukan seorang dua) yang seolah-olah menggalakkan melahirkan anak di rumah tanpa pemantauan anggota kesihatan terlatih.
“Kajian menunjukkan walau dengan perancangan dan kehadiran anggota perubatan terlatih, kelahiran di rumah mempunyai risiko dua kali ganda lebih tinggi kematian bayi dan tiga kali ganda lebih tinggi kecacatan otak dan sawan pada bayi.
“Oleh sebab itu, ibu-ibu perlu melahirkan anak dengan pemantauan anggota kesihatan terlatih di pusat kelahiran yang bertauliah,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Dr. Amirul Amzar berkata, kelahiran di rumah mempunyai kadar intervensi perubatan lebih rendah, namun ia datang dengan risiko kematian dan kecacatan bayi yang lebih tinggi.
“Cuma dengan kehadiran hasutan sebegini, daripada mereka yang tiada tauliah dan latihan perbidanan, saya risau kematian ibu dan bayi (maternal and perinatal mortality) akan meningkat. Sesuatu perlu dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE