KUALA LUMPUR – Harapan seluruh peminat badminton tanah air untuk menyaksikan sekurang-kurangnya satu wakil negara beraksi di pentas final Terbuka Malaysia 2022 esok tidak kesampaian.
Ia susulan kekalahan wakil terakhir Malaysia di peringkat separuh akhir hari ini apabila beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Pasangan di ranking keenam dunia itu tewas straight-set dengan keputusan 21-23, 9-21 dalam aksi yang berlangsung selama 41 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Kegagalan itu sekali lagi meranapkan impian Aaron-Wooi Yik untuk kembali beraksi di perlawanan akhir dalam kalendar tahun ini sejak melakukannya pada Kejohanan Asia 2022 di Manila, Filipina dua bulan lalu.
Ketika itu, Aaron-Wooi Yik tewas 21-23, 10-21 kepada pasangan Thailand, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan.
Bagaimanapun, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu gagal untuk mengulangi momentum tersebut dalam tiga kejohanan seterusnya bermula Terbuka Thailand (separuh akhir), Indonesia Masters (suku akhir) dan Terbuka Indonesia (separuh akhir).
Kegagalan di Terbuka Malaysia menyaksikan kemarau Aaron-Wooi Yik untuk muncul juara di peringkat antarabangsa berterusan dengan kali terakhir ketika memenangi Sukan SEA Manila 2019.
Sebagai rekod, aksi final beregu lelaki esok menyaksikan pertemuan antara Hoki-Kobayashi menentang pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang menewaskan satu lagi wakil negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 21-14, 21-12. – KOSMO! ONLINE