KUALA LUMPUR – Hasrat beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk melangkah ke pentas final Terbuka Malaysia 2022 tidak kesampaian.
Pasangan ranking ke-12 dunia itu tumbang 14-21, 12-21 ke atas beregu No.7 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada separuh akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Menurut Sze Fei, kekalahan mereka mungkin disebabkan persediaan mental mereka tidak berada pada tahap terbaik untuk menghadapi perlawanan itu.
“Kami sudah cuba yang terbaik tetapi hari ini bukan perlawanan kami. Kami perlu pandang ke hadapan dan memperbaiki situasi ini,” kata pemain berusia 24 tahun dari Melaka itu.
Juara Terbuka Jerman 2022 itu membuka kempen Terbuka Malaysia dengan kemenangan 21-12, 21-12 ke atas wakil Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi di pusingan pertama.
Mereka kemudiannya mendapat kemenangan percuma di pusingan kedua selepas juara Piala Thomas 2022 dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya Sze Fei-Nur Izzuddin apabila menewaskan juara Terbuka Indonesia, Liu Yuchen-Ou Xianyi dari China 21-11, 22-20.
Bagaimanapun, kecemerlangan beregu negara untuk melangkah ke final tidak kesampaian apabila tumbang kepada Fajar Alfian-Rian Ardianto dalam tempoh 37 minit. – KOSMO! ONLINE