MEMPUNYAI pembantu peribadi mungkin dilihat dapat memudahkan urusan seharian seseorang selebriti yang jadualnya begitu sibuk.
Masakan tidak, jadual yang begitu padat dengan kerja-kerja seni termasuk penggambaran dan aktiviti promosi itu, kadangkala tidak dapat diuruskan sepenuhnya seorang diri.
Sudah namanya pembantu peribadi, dalam kata lain, itulah insan yang paling dekat dan dipercayai seseorang artis.
Bukan setakat memegang dan menyimpan rahsia, pembantu peribadi juga disifatkan sebagai kunci segala kepercayaan buat seseorang selebriti.
Bagaimanapun, baik manapun individu bergelar pembantu peribadi, di sinilah bahaya boleh berkunjung jika harapkan pagar tapi pagar makan padi.
Terbaharu, pelakon veteran dikenali sebagai Mak Wan Latah turut berdepan masalah apabila bekas pengurus peribadi tampil dengan pelbagai dakwaan termasuk membongkar sikap sebenar artis yang pernah menjadi majikan itu dalam media sosial.
Kononnnya bertindak apabila tidak lagi sanggup menjadi mangsa kejahatan artis yang pernah dijaganya, individu terbabit juga mengakui lama menyimpan rahsia, namun mendiamkan diri kerana menganggap wanita itu seperti ibu sendiri.
Minggu ini Gala membariskan beberapa artis tempatan dan luar negara yang pernah berdepan masalah dengan pembantu peribadi mereka.
Dewi Perssik
TAHUN lalu, penyanyi Indonesia Dewi Perssik meluahkan kekecewaan dan rasa bengang dengan fitnah yang dilemparkan salah seorang pembantu peribadinya.
Luahan tersebut dibuat Dewi menerusi Instagram yang mengatakan, pembohongan yang dilakukan lelaki itu membuatkan dia hilang sabar dan tidak mampu mengawal emosi.
“Jangan fitnah saya, kurang bersyukur kamu ni, baru kerja tiga bulan, diberi gaji 5 juta Rupiah (RM1,400) ketika jadi pembantu peribadi yang kerjayanya hanya pagi sahaja setelah itu pulang, ya apa tanggungjawab kamu sebagai pembantu?
“Ingat! Kamu datang minta kerja kerana katanya tak dibayar gaji oleh bekas majikan di Bali, sering dibuli, saya jadi kasihan sama kamu, lalu saya ambil kamu jadi pembantu dan naikkan gaji.
“Perhiasan saya kamu hilangkan dan kata tidak tahu sedangkan kamu yang pegang, ada saya marah?,” katanya.
Tidak memperincikan bentuk fitnah yang dilemparkan, Dewi benar-benar kecewa dengan sikap pembantu peribadinya itu.
Andi Bernadee
PENYANYI popular, Andi Bernadee turut berdepan nasib sama apabila menjadi mangsa penipuan dan pecah amanah orang paling dipercayainya hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM70,000.
Kata Andi, laporan polis dibuat terhadap individu terbabit yang dikenalinya lebih dua tahun.
Akibat perbuatan tersebut, Andi hilang arah, putus punca kewangan, khususnya pada waktu pandemik Covid-19 melanda dunia.
“Saya buat laporan polis disebabkan kes pecah amanah melibatkan orang yang sangat saya percayai.
“Orang yang saya bawa masuk ke dalam industri seni. Saya memang tak sangka sebab dia sudah kacau periuk nasi saya, memalukan dan memfitnah saya. Sudahnya, dia pergi ‘songlap’ duit saya,” katanya.
Fify Azmi
AWAL bulan lalu, pelakon dan model Fify Azmi bertindak membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu seorang wanita yang juga pembantu peribadinya.
Fify berkata, individu itu mengambil bayaran berjumlah RM15,000 bagi pihaknya secara senyap-senyap untuk projek bersama sebuah syarikat produksi.
“Kalau ikutkan bayaran tersebut sepatutnya dimasukkan terus ke dalam akaun peribadi saya, tetapi tanpa saya ketahui, dia awal-awal lagi telah meminta akauntan syarikat produksi itu membuat bayaran atas namanya.
“Selama lebih dua bulan terbabit dalam projek itu, saya terdetik untuk bertanya mengenai pembayaran tersebut kepada syarikat terbabit.
“Sumpah saya memang bengang kerana tidak dimaklumkan langsung pun mengenai urusan pembayaran itu. Bila tanya dia, macam-macam alasan dia beri untuk mengelak daripada tertangkap,” katanya.
Tambah Fify atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohamed Azmi, 32, dia memang menyesal dan terkilan, sekali gus hilang kepercayaan kepada pengurus peribadinya itu.
Dalam pada itu, pembantu peribadinya tampil menjelaskan keadaan sebenar dengan berkata, kesilapan berlaku daripada dirinya sendiri kerana tidak sedar bayaran penuh sudah dibuat syarikat produksi tersebut ke dalam akaunnya.
Lisa Blackpink
Pihak pengurusan kumpulan Blackpink iaitu YG Entertainment mengesahkan, artis naungan mereka iaitu Lisa menjadi mangsa penipuan bekas pengurusnya pada 2020.
Lisa dikatakan mengalami kerugian sebanyak RM3.5 juta dan memaklumkan ingin menyelesaikan isu tersebut secara peribadi.
“Kami sahkan Lisa jadi mangsa penipuan pengurus dan dia ingin menyelesaikan hal ini secara peribadi,” kata YG Entertainment menerusi satu kenyataan.
Dikatakan, Lisa memilih untuk menyelesaikan kes secara peribadi kerana bekas pengurus berkenaan merupakan individu yang pernah dipercayai sebelum ini.
Malah, pengurus berkenaan telah memulangkan sejumlah wang yang diambil dan berjanji menyerahkan keseluruhan wang tersebut.