BANGKOK – Seorang rakyat Malaysia yang ditahan di Bangkok minggu ini kerana jenayah penyeludupan hidupan liar memberi alasan masuk ke Thailand untuk urusan perniagaan minyak ganja, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Boon Ching Teo, 58, didakwa merupakan antara penyeludup hidupan liar utama sebuah rangkaian global. Dia dilaporkan digelar ‘bapa perdagangan hidupan liar’ oleh Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat (AS) sekali gus dikehendaki oleh pihak berkuasa AS.
Rangkaian global yang disertai Ching Teo dipercayai terlibat dalam perdagangan haram tanduk badak, gading gajah, dan haiwan liar Afrika yang terancam.
Dia pernah ditangkap di Thailand pada 2015 kerana menyeludup gading gajah Afrika melalui daerah Sadao di Songkhla.
Polis Biro Siasatan Pusat berkata, Ching Teo ditahan di sebuah hotel di daerah Wang Tholang atas dakwaan terlibat dalam penyeludupan hidupan liar dan pengubahan wang haram.
Menurut polis Thailand, lelaki itu akan diekstradisi ke AS.
“Boon Ching Teo tidak mempunyai tempat kediaman yang tetap. Dia sentiasa melakukan perjalanan dari satu negara ke negara lain, terutamanya di Afrika dan menjadikan dirinya sukar untuk dikesan.
“Kami bertindak selepas mendapat maklumat bahawa dia berada di Thailand untuk perniagaan haram,” kata Timbalan Komander Bahagian Sumber Asli dan Jenayah Alam Sekitar Thailand, Arun Wachirasukanya
Ching Teo tidak mengaku bersalah berhubung semua pertuduhan terhadap dirinya. Lelaki itu sebaliknya mendakwa bahawa dia berada di Thailand untuk urusan perniagaan minyak ganja dan kerap melawat rantau Afrika untuk bercuti. – Agensi