PETALING JAYA – Selepas empat tahun berkahwin, pelakon Raja Ilya bergelar ibu apabila selamat melahirkan anak sulungnya, seorang bayi perempuan semalam.
Raja Ilya atau nama penuhnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 37, berkongsi tentang berita gembira tersebut menerusi satu hantaran dalam Instagramnya.
Pelakon filem KL Vampires itu turut berkongsi wajah dan nama bayi perempuannya yang diberi nama Talita Love.
“Syukur alhamdulillah, bayi perempuan kami selamat dilahirkan. Hari ini saya melalui satu keajaiban dan momen magikal atas kelahiran bayi perempuan saya, Talita Love.
“Ada tangisan dan saya masih terkejut. Terima kasih atas segala kasih sayang, sokongan dan doa,” tulisnya.
Pelakon itu yang menetap di Australia selepas mendirikan rumah tangga melahirkan bayi perempuannya di sebuah hospital di sana.
Gembira menyambut kelahiran bayi sulungnya itu, Raja Ilya turut memaklumkan bahawa dia dan suami akan pulang ke Malaysia bersama bayi mereka menjelang awal tahun depan.
“Tak sabar nak balik Malaysia awal tahun depan dengan baby. Tunggu kami okey,” katanya.
Biarpun baru dilahirkan semalam, tetapi anak pelakon itu sudah mempunyai akaun Instagram rasmi menggunakan nama @talitalovegarrett yang setakat ini diikuti hampir 7,000 pengikut.
Untuk info, Raja Ilya berkahwin dengan seorang ahli perniagaan berasal dari Australia, Trent Garrett pada 23 Disember 2018 di kediaman saudara suaminya itu di Perth. – KOSMO! ONLINE