LONDON – Pemain pilihan kedua, Rafael Nadal terpaksa bermandi peluh sebelum berjaya menjinakkan wakil dari Lithuania, Ricardas Berankis untuk meloloskan diri ke pusingan ketiga kejohanan bertaraf Grand Slam, Kejuaraan Wimbledon awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Nadal yang telah menjuarai trofi Grand Slam 22 kali dalam kariernya mengambil masa lebih tiga jam untuk menyingkirkan Berankis dengan keputusan 6-4, 6-4, 4-6, 6-3.
Nadal berkata, aksi tersebut sememangnya memberi pengalaman getir buatnya kerana menentang pemain kurang ternama, tetapi boleh mendatangkan kesukaran sama seperti pemain yang diletakkan sebagai pilihan dalam kejohanan.
“Saya tidak pernah memandang rendah terhadap keupayaan pemain lawan, tidak kira dia di ranking atau pilihan ke berapa. Semuanya sukar dan ini terbukti apabila Berankis berjaya mencuri satu set pada aksi kali ini dan saya perlu lebih berwaspada.
“Secara keseluruhan, saya jangkakan aksi yang lebih sukar selepas ini kerana gelanggang rumput bukanlah kepakaran saya terutama apabila sudah lebih tiga tahun tidak bersaing secara kompetitif di sini,” katanya yang akan bertemu pemain pilihan ke-27, Lorenzo Sonego pada pusingan ketiga nanti.
Sementara itu, pemain pilihan keempat, Stefanos Tsitsipas turut mara selepas menyingkirkan Jordan Thompson dengan keputusan straight-set 6-2, 6-3, 7-5 dan kini dijadualkan bertemu dengan pemain kontroversi dari Australia, Nick Kyrgios di pusingan ketiga.
“Ujian sebenar saya adalah ketika bertemu Kyrgios nanti. Ramai yang mengkritik sikapnya di atas dan di luar gelanggang, tetapi saya percaya dia adalah pemain berkualiti dan kami pernah bersaing secara kompetitif dalam banyak perlawanan sebelum ini,” katanya. – AGENSI