fbpx

Koperasi di Malaysia perlu contohi gerakan koperasi di Jepun – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar hadir ke Majlis Pelancaran Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 (BKK22), sempena 100 tahun KOPERASI di Pusat Pelancongan Malaysia hari ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru koperasi di negara ini mencontohi gerakan koperasi di Jepun yang diletakkan di bawah Japanese Consumer Cooperative Union (JCCU).

Menurut Ismail Sabri, JCCU merupakan gabungan 572 koperasi pengguna dan dianggotai oleh 22 juta orang berjaya mencatat keuntungan sebanyak RM2.6 bilion pada tahun 2021.

Kata beliau, gabungan koperasi itu bukan sekadar menguasai segmen pasaran dengan membekalkan barangan keperluan harian, tetapi mampu menawarkan persekitaran yang lestari kepada komuniti setempat.

“Ini jelas membuktikan gerakan koperasi boleh memainkan peranan utama dalam mengerakkan ekonomi dan membantu negara menghadapi cabaran kos sara hidup.

“Saya yakin, gerakan koperasi boleh menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan penglibatan yang lebih ramai Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, ketika ini terdapat sebanyak 14,834 buah koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan jumlah keahlian 7.1 juta.

Katanya, gerakan koperasi juga mempunyai modal saham dan yuran terkumpul RM16.5 bilion dengan aset berjumlah RM155 bilion serta perolehannya mencecah RM37.9 bilion.

“Saya percaya angka ini boleh dipertingkatkan apabilak esedaran dan minat menyertai koperasi menjadi satu gaya hidup yang akan menyumbang kepada kemakmuran sosio-ekonomi negara,” ujarnya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Tabung Agromakanan akan diletakkan di bawah SKM bagi membantu koperasi mengembangkan industri agromakanan khususnya penternakan ayam.

Jelas beliau, langkah ini akan membantu koperasi meningkatkan pengeluaran makanan, seterusnya mengurangkan masalah kenaikan harga barang yang memberi impak besar kepada Keluarga Malaysia.

“Kedua, kerajaan juga bersetuju agar koperasi-koperasi diberi kuota pekerja asing supaya urusan perladangan dapat berjalan dengan lancar.

“Selain itu, kerajaan menyokong penubuhan Koperasi Rakyat BR 2.0 Malaysia Berhad atau BR 2.0, sebuah entiti koperasi yang baharu ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993[Akta 502] dan dikawal selia oleh SKM.

“Penubuhan BR 2.0 turut membolehkan Keluarga Malaysia melabur dan memiliki saham dalam koperasi seperti mana Bank Rakyat dengan jangkaan pulangan yang baik,” jelas beliau.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM10 juta kepada KUSKOP bagi membiayai penganjuran aktiviti-aktiviti kolaborasi strategik bersama persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti penganjuran pameran dan ekspo. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI