fbpx

Kluster ILI: Jangan bimbang hantar anak ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Saidi (tengah) merasmikan Akademi Bina Insan (ABI) di Taman Ampang Baru, Ipoh hari ini.

IPOH – Ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak ke sekolah meskipun terdapat 26 kluster aktif kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) melibatkan institusi pendidikan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, situasi pada masa kini terkawal hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Katanya, usaha membendung penyakit itu sentiasa dilakukan bagi membolehkan langkah pencegahan awal diambil sekali gus mengelak risiko jangkitan.

“Menerusi laporan yang diterima, setiap hari mungkin terdapat kluster baharu ILI namun pemantauan sentiasa dijalankan bagi melihat perkembangan kes ini. Buat masa sekarang keadaan masih terkawal.

“Saya nasihatkan ibu bapa untuk tidak takut menghantar anak-anak ke sekolah. Kerajaan negeri bertemu dengan JKN dan JPN untuk mengadakan program bersama dalam memastikan penyakit ini dapat dicegah pada peringkat awal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Akademi Bina Insan (ABI) di Taman Ampang Baru di sini hari ini.

Menurut Ahmad Saidi, golongan ibu bapa juga diingatkan untuk selalu peka dengan tahap kesihatan anak-anak mereka agar tidak menjangkiti pelajar lain.

“Awasi anak masing-masing, jika ada gejala, dinasihatkan tidak dihantar ke sekolah tetapi bawalah ke klinik untuk pemeriksaan lanjut. Kita tidak boleh beranggapan segala simptom ini adalah demam biasa.

“Pelajar juga diingatkan jika mempunyai gejala maklumkan segera kepada guru begitu juga dengan pelajar di asrama, kita minta ibu bapa bawa pulang pelajar tersebut untuk dikuarantin bagi menjaga kesihatan pelajar-pelajar lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI