fbpx

Kapal Spectrum of The Seas berlabuh di Pulau Pinang hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SPECTRUM of The Seas milik Royal Carribean Cruises Ltd. (RCCL) ketika merapat di Swettenham Pier Cruise Terminal, George Town di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) hari ini menerima persinggahan kapal persiaran antarabangsa pertama setelah dua tahun aktiviti pelayaran luar itu dihentikan di negara ini susulan penularan wabak Covid-19.

Kapal Spectrum of The Seas milik Royal Carribean Cruises Ltd. (RCCL) yang membawa 3,239 penumpang dan 1,577 kru kapal berlabuh di SPCT awal pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, beliau teruja dengan ketibaan kapal persiaran antarabangsa tersebut di negeri ini kerana manfaat yang akan diberikan kepada industri pelancongan dan industri hiliran di negeri ini.

”Manfaat yang diperoleh dengan kehadiran kapal persiaran antarabangsa ini adalah besar dan mampu memeriahkan lagi suasana di Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pelancongan bukan sekadar di peringkat domestik malah di peringkat antarabangsa.

”Persinggahan Spectrum of the Seas pada kali ini merupakan titik tolak bagi persinggahan kapal-kapal persiaran antarabangsa yang lain pada masa depan, kapal Spectrum of the Seas itu sendiri akan berlabuh di Pulau Pinang dua kali seminggu,” katanya ketika menyambut ketibaan pelancong yang menaiki kapal persiaran Spectrum of The Seas di SPCT di sini hari ini.

Sambutan ketibaan tersebut turut disertai oleh Pengurus Besar SPPP, Monaliza Suhaimi, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), Datuk Sasedharan Vasudevan dan lain-lain agensi.

Menurut beliau, pihaknya juga amat berpuas hati dengan persediaan yang telah dilaksanakan bagi menyambut ketibaan kapal persiaran tersebut.

”Kami juga berbesar hati dengan kesudian pihak Penang Global Tourism (PGT) yang mengadakan persembahan bagi memeriahkan lagi sambutan tersebut dan juga kesudian pihak PPSB yang menyediakan cenderahati kepada penumpang kapal Spectrum of The Seas.

”Kami juga mengalu-alukan ketibaan penumpang kapal tersebut dan berharap agar mereka akan kembali mengunjungi Pulau Pinang pada masa depan,” tambahnya. KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI