COLUMBUS, OHIO – Seorang wanita di negeri Ohio, Amerika Syarikat mencuri perhatian netizen apabila berkongsi kisah cinta bersama suami yang merupakan bapa bekas teman lelakinya, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Sydney Dean, 27, mengaku dia pernah menjalinkan hubungan cinta dengan anak suaminya, Paul, 51, ketika zaman persekolahan sebelum mereka mengambil keputusan untuk berpisah.
Meskipun sudah berpisah, Dean masih bersahabat baik dengan bekas kekasihnya serta ahli keluarga lelaki itu selain kerap mengunjungi kediaman mereka.
Disebabkan sering bertemu, Dean dan Paul mula jatuh cinta meskipun memiliki jurang usia 24 tahun.
Selepas berumur 16 tahun, kedua-dua mereka membuat keputusan untuk menjalani hubungan serius sebelum merancang berkahwin pada 2016.
“Ibu saya tahu siapa Paul yang sebenarnya dan mereka juga kelihatan mesra. Namun, ketika saya memberitahu telah jatuh cinta kepada Paul, dia berasa agak keberatan untuk merestui kami,” kata Dean.
Selain ibunya, ayah wanita itu juga pada awalnya tidak bersetuju dengan hubungan mereka disebabkan perbezaan usia begitu ketara.
Halangan seterusnya yang paling besar adalah daripada anak Paul sendiri, iaitu bekas kekasih Dean.
Bagaimanapun, wanita itu berkata, semua halangan tersebut berjaya diharungi dan mereka akhirnya merestui perkahwinan pasangan suami isteri berkenaan. – Agensi