MENJADI mangsa rogol kepada manusia bernafsu ‘syaitan’ merupakan pengalaman paling ngeri dan sukar dilupakan oleh mana-mana wanita.
Pengalaman itu merupakan satu perkara yang mengejutkan buat si mangsa sehingga sukar memikirkan langkah yang sewajarnya diambil.
Baru-baru ini, akhbar melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun mengandung tiga bulan selepas dipercayai menjadi mangsa rogol kepada individu tidak bertanggungjawab dalam kejadian di Pasir Mas, Kelantan pada Februari dan Mac lalu.
Laporan mengatakan mangsa dipercayai dirogol oleh dua lelaki dalam kejadian berasingan yang berlaku di rumah datuknya.
Selain itu, polis juga menahan seorang petani selepas disyaki merogol adik kandungnya yang berusia 13 tahun sehingga hamil 26 minggu di Kota Bharu, pada awal Jun lalu.
Insiden malang terbabit jelas menunjukkan mangsa memilih untuk mendiamkan diri sebelum terbongkar ekoran mengandung.
Sebelum menuding jari dan menyalahkan wanita, masyarakat harus sedar taktik manipulasi si pemangsa yang menyasarkan gadis muda untuk melampiaskan nafsu.
Gejala berkenaan dilihat semakin meningkat dalam masyarakat di negara ini tidak mengira usia. Jika lambat dibanteras, ramai masa depan anak gadis bakal menjadi gelap gelita.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada tiga wanita di seluruh dunia pernah berdepan dengan keganasan seksual secara fizikal oleh pasangan atau sebaliknya sepanjang hidup mereka.
Dalam pada itu, kajian menunjukkan mangsa rogol tidak kira lelaki atau wanita akan mengalami perubahan dari sudut kesihatan mental, tingkah laku dan impak sosial.
Bagaimanapun, wanita dan remaja perempuan menerima impak yang lebih hebat susulan terdedah risiko kehamilan tidak dirancang serta penyakit kelamin termasuk HIV.
Oleh demikian, pengetahuan bagi melaksanakan tindakan susulan sewajarnya amat penting sebelum nasi menjadi bubur.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menasihatkan mangsa rogol di luar sana agar berani melaporkan perkara terkutuk itu dengan segera kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, mangsa rogol perlu membuat laporan polis kurang 24 jam selepas kejadian bagi memastikan DNA (data profil asid deoksiribonukleik) si pelaku dapat dikesan.
“Pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa rogol itu akan dijalankan supaya polis dapat mengesan DNA serta bukti saintifik seperti air mani di baju mangsa bertujuan untuk mengenal pasti serta menangkap suspek.
“Jika dibiarkan, bukti ini akan hilang dan menyukarkan siasatan.
“Jika suspek tidak dapat dikenal pasti, kita akan menggunakan bukti DNA itu untuk dikenal pasti melalui rekod data Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Fakhrudin memaklumkan rawatan khas turut dilakukan pihak hospital supaya dapat membantu mengelakkan mangsa daripada hamil.
“Jika suspek merupakan keluarga, polis akan memberi perlindungan terhadap mangsa sehingga si pelaku dibawa ke muka pengadilan.
“Selain itu, kita akan memastikan mangsa diberikan rawatan psikologi sekiranya mangsa mengalami kemurungan akibat kejadian yang dialami,” jelasnya.