KOTA BHARU – Seorang guru silat maut terkena serangan jantung dipercayai akibat terlalu kecewa sehingga mengalami tekanan perasaan selepas dua orang pesilatnya tewas dalam pertandingan silat anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Wakaf Che Yeh di sini semalam.
Mangsa, Mohd. Nor Bedul, 62, disahkan meninggal dunia selepas hampir sejam menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 2 pagi tadi.
Salah seorang anak buah mangsa yang enggan dikenali berkata, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, mangsa bersama pesilat lain singgah untuk makan roti canai di sebuah di Kampung Melor di sini kira-kira pukul 1 pagi.
Katanya yang berusia dalam lingkungan 30-an, ketika sedang makan, guru silat itu kelihatan berpeluh dan mengalami sesak nafas.
“Melihat kepada keadaan itu, dua anak buahnya dan pesilat lain terus memapah mangsa masuk ke dalam kereta sebelum dibawa ke HUSM untuk menerima rawatan.
“Bagaimanapun, Mohd. Nor disahkan meninggal dunia kira-kira jam kemudian akibat serangan jantung,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, dia mengesyaki guru silat itu mengalami tekanan perasaan selepas dua anak buahnya mengalami kekalahan.
Katanya, kematian Mohd. Nor turut menyebabkan dua lagi anak buahnya yang bakal beraksi dalam pertandingan tersebut malam ini membuat keputusan untuk menarik diri.
Tambahnya, keputusan itu dibuat untuk menghormati pemergian arwah yang juga merupakan guru silat disegani ramai. – KOSMO! ONLINE.