KUALA TERENGGANU – Tekong dan dua kru bot yang mengalami kerosakan di Laut China Selatan sewaktu membawa 10 pemancing ditahan Maritim Malaysia (APMM) hari ini.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Saufi Mohd. Ramli berkata, siasatan awal mendapati mereka yang berusia dalam lingkungan 39 hingga 46 tahun itu mengendalikan trip memancing itu tanpa permit sah daripada Jabatan Laut.
“Bot tersebut juga sebenarnya tidak sesuai untuk aktiviti rekreasi memancing. Ia tidak dilengkapi dengan alat komunikasi dan kelengkapan rawatan awal.
“Trip memancing ke kawasan pelantar minyak juga adalah aktiviti yang dilarang oleh undang-undang,” katanya selepas memantau operasi menyelamat 10 pemancing terlibat di Jeti Maritim Terengganu di sini hari ini.
Muhammad Saufi berkata, kesalahan melibatkan bot sama bukan pertama kali dilakukan kerana ia pernah dikenakan tindakan oleh APMM atas perbuatan sama pada dua tahun lalu.
Tambah beliau, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama 14 hari mulai semalam bagi membantu siasatan.
Kosmo! 3 Februari lalu melaporkan perbuatan memancing di kawasan 500 meter radius dari pelantar minyak adalah tidak dibenarkan kerana ia telah diwartakan sebagai kawasan larangan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
Mana-mana pihak yang melanggar peraturan tersebut boleh dikenakan tindakan penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE.